Berita Minggu (9 May 2021)
BAGAI lagu dan irama.
Pasangan suami isteri, Encik Abdullah Yahya, 63 tahun, dan Cik Siti Hasenah Satay, 57 tahun, saling melengkapi dan tidak dapat dipisahkan.
Namun, akibat nahas motosikal yang dialami Encik Abdullah dan penularan Covid-19 di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) di mana beliau dirawat, pasangan itu sudah lebih seminggu tidak bersua, dan dijangka akan terus berjauhan sehingga akhir bulan ini.
Ini adalah kali pertama sejak 40 tahun pernikahan mereka, pasangan suami isteri itu terpisah.
Encik Abdullah juga tidak pernah terlepas menyambut hari-hari istimewa bersama isterinya, termasuk Hari Ibu yang jatuh hari ini.
Encik Abdullah, mengalami kemalangan jalan raya pada 18 April lalu, yang mengakibatkan tulang punggung kirinya patah selain beberapa lagi kecederaan di seluruh badannya, sehingga beliau terpaksa menjalani pembedahan.
bersama anak lelakinya untuk pulang setelah membeli juadah berbuka puasa apabila nahas itu berlaku sekitar 5.30 petang, di persimpangan Sengkang Central dan
Hougang Ave 6.
Sedang beliau cedera parah, kecederaan anak lelakinya tidak begitu teruk. Beliau dan isteri mempunyai dua lagi anak.
Encik Abdullah dimasukkan ke TTSH dan Cik Hasenah berada di samping suaminya setiap hari sehinggalah hospital itu melarang kunjungan bagi sebahagian besar wad bagi menangani penularan Covid-19 pada 29 April lalu.
TTSH merupakan kelompok aktif Covid-19 di Singapura.
“Kami tak sangka larangan itu begitu lama. Saya dah seminggu tak dapat jumpa suami dan sangat bimbang akan keadaannya,” ujar Cik Hasenah, yang melakukan panggilan video setiap hari dengan suaminya.
“Kami suami isteri memang rapat. Tidak pernah berpisah. Kawan-kawan sampai gelarkan kami macam ‘sardin dan tin’ sebab selalu bersama!
“Bila saya dapat melawat dia di hospital sebelum ini, sayalah yang suapkan dia makan, letakkan Vicks di dada dia, sekarang ni tak tahulah.
“Saya sampai tidak ada selera makan fikirkan keadaan suami seorang diri, terlantar di hospital,” katanya, sambil menahan sebak.
Bagi mengubat sedikit gundah Cik Hasenah, TTSH dan Berita Minggu telah bekerjasama untuk merancang kejutan bagi beliau sempena Hari Ibu ini, dengan memberi kek serta membantu Encik Abdullah menulis dan mengirimkan kad khas bagi isterinya itu.
Setibanya di rumah Cik Hasenah di Hougang dan setelah menerima kiriman istimewa itu, Encik Abdullah menghubungi iserinya menerusi panggilan video.
Kededua suami isteri begitu emosi, terutama apabila Cik Hasenah mula membacakan kad kiriman suaminya itu, mencerminkan hubungan dan cinta mereka yang begitu mendalam.
“Saya sangat tersentuh ketika membaca kad yang suami saya berikan,” kata Cik Hasenah, sambil mengesat air mata yang membasahi pipinya.
“Saya doakan suami saya cepat sembuh dan kita semua dapat pulih dari wabak ini,” kata Cik Hasenah.
Encik Abdullah kini masih di hospital untuk rawatan lanjut dan harus menjalani fisioterapi.
Penyelia juruteknik itu dijangka dirawat di hospital sekitar tiga bulan lagi.
Keluarga Encik Abdullah memohon saksi untuk tampil dengan rakaman video kemalangan tersebut.